Friday, November 5, 2010

FAKTOR KEMENANGAN BN DI GALAS

6 NOV — Segala debaran sudah berakhir. Barisan Nasional (BN) yang pada awalnya dianggap tidak dapat merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas telah mencatatkan keputusan sebaliknya. Parti itu menang dengan majoriti 1,190 undi.
Jumlah majoriti itu mengejutkan banyak pihak memandangkan sejak kempen bermula pada 26 Oktober lalu, ramai yang mengatakan cabaran BN cukup getir memandangkan mereka berhadapan dengan musuh tradisi iaitu PAS yang turut menjadi kerajaan negeri di Kelantan.
Tetapi pengundi-pengundi di Galas mempunyai fikiran yang berbeza. Jika pada tahun 2008, mereka menghumban BN ke lembah kekalahan berikutan faktor calon dan isu nasional, namun pada pilihan raya kecil kali ini, mereka membuktikan sebaliknya.
Mereka memberi kemenangan besar kepada calon BN yang dianggap muka baru iaitu Abdul Aziz Yusoff bagi membolehkan beliau menewaskan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed yang berusaha buat kali ketiga untuk menjadi “Yang Berhormat”. Sebelum ini Dr Zulkefli yang dikatakan pemilihannya tidak begitu disenangi oleh jentera PAS sudah tewas dua kali dalam pilihan raya umum iaitu pada tahun 2004 dan 2008.
Kejayaan ini adalah juga kerana sikap yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang secara konsisten menunjukkan keyakinan terhadap kemampuan BN untuk merampas kerusi DUN Galas. Biarpun dilihat mempunyai perbezaan pendapat dengan kerajaan pusat berhubung bayaran royalti minyak kepada Kelantan, namun demi kepentingan parti, Tengku Razaleigh bersedia menerima amanah yang cukup besar iaitu mengepalai jentera BN sebagai pengarah pilihan raya parti itu.
Sejak dilantik, biarpun berhadapan cabaran getir, Tengku Razaleigh sentiasa tenang, senyuman sentiasa terukir di bibir walau ke mana sahaja beliau pergi. Cubaan pembangkang membangkitkan isu kononnya beliau merajuk apabila tidak mengiringi Abdul Aziz yang merupakan pilihan beliau ke dewan penyerahan borang pencalonan ternyata gagal.
Tengku Razaleigh tidak peduli itu semua, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian mengatur strategi tersendiri sehingga saat-saat akhir kempen bagi memastikan kemenangan calon BN. Tugas Ahli Parlimen itu menjadi mudah bukan sahaja kerana Abdul Aziz mempunyai latar belakang bersih tetapi juga dibantu oleh kecemerlangan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di peringkat pusat melalui gagasan 1 Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” yang dikatakan menjadi penarik kepada pengundi-pengundi untuk kembali menyokong BN.
Wawasan Perdana Menteri disampaikan dengan penuh berkesan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin biarpun hanya dua kali turun ke Galas. Ini kerana Muhyiddin juga memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Kecil Batu Sapi dan menaruh penuh kepercayaan kepada Tengku Razaleigh mengatur strategi.
Kehadiran kali kedua dan terakhir Timbalan Perdana Menteri ke Galas iaitu sehari sebelum pengundian dikatakan turut memberi impak apabila dalam majlis bersama rakyat di Kampung Bahru, Gua Musang, Muhyiddin secara tegas memaparkan agenda kerajaan dalam mensejahterakan hidup rakyat.
Hujah beliau berhubung sikap BN yang sentiasa menunaikan janji dengan disertakan fakta turut menarik perhatian pengundi. Kebolehan Tengku Razaleigh, kewibawaan Perdana Menteri dan kemampuan Muhyiddin telah memberi semangat kepada jentera BN untuk bekerja bertungkus-lumus tanpa mengira penat lelah menggempur semua peti undi, biarpun ia berada di kawasan yang dianggap “hitam”.
Sama ada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, kesemua mereka turut memainkan peranan cukup berkesan melaksanakan tanggungjawab menarik pengundi menyokong BN. Setiap hari, ada sahaja aktiviti dan gerakan yang dilakukan sehingga ia “melemaskan” PAS dan rakan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertindak balas.
Kemuncaknya ialah sehari sebelum mengundi apabila ketiga-tiga sayap berkenaan “menggempur” setiap penjuru DUN Galas. Gerakan “Gelombang Merah” yang menyaksikan Wanita dan Puteri Umno “menawan” hamper kesemua kawasan hitam terutamanya di pekan lama Gua Musang turut membuahkan hasil.
Gerakan “Gelombang Merah” itu yang dikatakan diketuai oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusof ternyata memberi kesan kepada pengundi.
Pada hari yang sama, ketika tempoh kempen memasuki saat-saat kritikal iaitu 12 jam sebelum pengundian, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed yang diberi tanggungjawab menjaga Sungai Terah yang merupakan kubu kuat PAS melakukan apa yang disifatkan oleh seorang teman sebagai “gempuran komando”.
Ia kerana Mustapha dengan penuh berhemah berjaya menembusi kubu kuat itu dengan menemui pengundi-pengundi di kawasan berkenaan secara bersemuka, bukan sahaja di dalam kawasan BN tetapi juga kawasan PAS. “Keberanian” tersebut telah memungkinkan BN berjaya mengendurkan jumlah majoriti PAS di kawasan itu di paras yang cukup signifikan.
Kegigihan pemimpin dan jentera BN ini telah memungkinkan peti-peti undi di kawasan majoriti kaum Cina turut dikuasai parti itu atau sekurang-kurangnya mencapai sasaran peratusan undi yang dikehendaki. Selain itu, ia juga berjaya menggelakkan sebarang unsur sabotaj oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menjadi pengkhianat di dalam parti sendiri.
Ketika “bala tentera” BN turun ke Galas dengan penuh keyakinan dan bersemangat, PAS pula yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman “memasuki gelanggang” dalam keadaan “cedera” di sana-sini termasuklah membawa beban akibat kegagalan kerajaan PAS Kelantan menunaikan janji yang dibuat pada 2008 kepada pengundi Galas.
Bebanan PAS diburukkan lagi dengan isu ladang rakyat yang menyaksikan masyarakat Orang Asli yang merupakan pengundi ketiga terbesar iaitu 1,839 orang menantikan pilihan raya kecil ini sebagai medan untuk membalas dendam terhadap kegelojohan kerajaan PAS Kelantan menceroboh tanah warisan mereka. Akibatnya, PAS tewas teruk di semua peti undi masyarakat Orang Asli.
Selain itu, sejak hari pertama kempen lagi, PAS tidak mampu “menyerang” sebaliknya bertahan bukan sahaja dalam isu pentadbiran kerajaan negeri tetapi juga isu melibatkan calonnya.
Apa pun pengundi-pengundi Galas sudah membuat keputusan dan selepas ini pasti kita akan kedengaran nyanyian “lagu lama” oleh pembangkang bahawa BN membeli undi, jika itu dilakukan jelaslah Malaysia bernasib malang kerana mempunyai kelompok pembangkang seumpama itu.
Namun begitu, BN juga tidak boleh selesa kerana pengundi-pengundi Galas terutamanya Orang Asli menanti segala janji ditunaikan dan jika mereka melihat ia tidak dilaksanakan, percayalah apa yang berlaku kepada PAS di DUN berkenaan akan terjadi kepada BN kerana itulah kebijaksanaan pengundi Galas membuat keputusan. — Utusan Malaysia